SELAMAT DATANG Assalamualaikum . . . BISMILLAH "AWAK BOLEH TUKAR BACKGROUND KAT SINI! SILA PILIH ;)! PENULISAN KREATIF
| BaB 8 : Teknik Penampilan Watak
Susunan watak-watak dalam karya dapat dibahagikan seperti berikut:
Protagonis
Inilah watak utama yang menggerakkan
sesebuah cerita dan peranannya sangat penting. Watak utama ini dapat
dibahagikan kepada zaman klasik dan moden. Dalam zaman klasik, protagonis
dilihat sebagai wira dan mempunyai sifat dewa yang penuh sakti. Wira ini semestinya
daripada golongan atasan seperti keluarga raja-raja. Dari aspek fizikalnya
haruslah lelaki yang kacak, gagah, berani dan segala sifat baik haruslah ada
padanya. Manakal dari aspek psikologinya mempunyai rasa perikemanusiaan dan
seringkali dilihat mendapat pertolongan dari kuasa sakti. Berbeza dengan zaman
moden yang tidak lagi ada unsur dewa atau sakti. Mereka mempunyai sifat manusia
biasa dan menjalani perkara harian seperti manusia biasa. Kadang-kadang mereka
mempunyai sedikit kelebihan atau tidak mempunyai kelebihan langsung. Mereka
boleh terdiri daripada golongan atasan atau golongan paling rendah sekali dalam
hierarki masyarakat.
Antagonis
Antagonis adalah watak jahat utama yang akan berlawanan dengan watak protagonis. Dari zaman klasik hingga ke zaman moden, watak jahat penuh dengan sifat yang busuk dan tidak baik. sifat ini tidak berubah hingga ke hari ini. Watak ini boleh terdiri daripada golongan pembesar raja-raja hinggalah ke rakyat biasa yang muda belia. Walaupun tidak semua watak antagonis berwajah hodoh, namun perwatakan mereka tetap dihitamkan. Mereka akan bersifat seperti hati dan perasaan, akal dan fikiran hanya menyusahkan orang, memuaskan perasaan dan pelbagai pakatan muslihat.
Watak Sampingan
Watak sampingan biasanya terdiri daripada orang-orang biasa yang akan membantu perkembangan watak antagonis dan protagonis ini. Mereka boleh menjadi keluarga, kawan baik dan sebagainya kepada dua watak penting ini. Watak sampingan sering digunakan untuk mengembangkan plot, pengubahan latar dari satu tempat ke tempat yang lain. Walaupun peranan mereka tidak penting, perwatakan merekalah terlaksana sebahagian besar konflik dalam karya dan melengkapkan sesebuah cerita.
Watak Tambahan
Watak-watak tambahan adalah watak yang tidak penting. Namun watak ini tetap bermakna untuk menhidupkan suasana dan pelengkap peristiwa. Sebagai contoh, sekiranya melibatkan peristiwa di pasar, peristiwa ini akan memerlukan watak tambahan untuk menjadi orang yang melakukan pelbagai aktiviti dipasar seperti menjual ikan atau sayur.
Watak Tidak Wujud
Watak ini tidak muncul dalam sesebuah kaya dengan menghadirkan diri seperti watak lain. Seringkali watak ini muncul dalam ingatan, mimpi, nostalgia, bayangan dan ingatan watak-watak lain. Kesemua penampilan watak dan perwatakan ini perlu dilakukan dengan menggunakan teknik-teknik khas seperti berikut:
Disini akan diperjelaskan contoh sebahagian daripada teknik-teknik tersebut:
Secara deskriptif atau naratif
Teknik ini memerlukan penulis untuk memperkenalkan sendiri secara langsung watak-watak dalam karya. Cara ini agak berbahaya kerana akan melibatkan diri si penulis. Ini adalah disebabkan penulis terpaksa menerangkan siapa watak, nama, bentuk fizikal dan ciri-ciri yang lain. Sebagai contoh:
Mak Limah atau Halimah isteri arwah Seman, sudah menjadi sinonim dengan rumah usang di tepi sawah itu. Walaupun usianya mungkin sudah melangkau tujuh puluh tahun, namun badannya masih belum bongkok atau condong ke hadapan seperti peremupan-perempuan tua lain yang sebaya dengannya.
-Melalui imbasan dalaman watak sendiri
Teknik ini menggunakan apa yang terlintas dalam lintasan ingatan sepintas lalu tentang keadaan dirinya. Apabila seorang penulis menggunakan teknik ini dia seperti 'pemandu' sahaja yang memandu lintasan dalam minda watak berkenaan tentang diri sendiri. Teknik ini dapat menghindarkan penulis dari terlibat secara langsung. Sebagai contoh:
Namanya Mak Limah. Orang kampung memanggilnya begitu. Seingatnya rumah usang itu sudah menjadi tempat tinggalnya semenjak kecil lagi, mungkin enam puluh tahun lebih atau tujuh pulah tahun dahulu.
Melalui perbuatan watak sendiri
Teknik ini memberikan penekanan kepada aktiviti atau perbuatan watak di samping memperkenalkan watak tersebut. Penulis hanya perlu membuat penjelasan apa yang dilakukan oleh watak, apa objek yang digunakan dan mengapa watak tersebut melakukan perbuatan itu. Sebagai contoh:
Sudah lama Mak Limah menyapu halaman rumahnya dengan penyapu lidi. Mana-mana daun kering yang lekat pada rumput dikutipnya dengan tangan.
Melalui pemikiran watak
Teknik ini memberi sorotan kepada ingatan watak yang lebih menjurus kepada falsafah hidupnya. Ingatan ini boleh meliputi apa sahaja sama ada tentang hidup, takdir dan nasib, kepelbagaian cabaran dan sebagainya. Sebagai contoh:
Matahari senja berwarna merah berjahang dan hampir smapai atas puncak gunung-gunung di sebelah barat. Mak Limah masih duduk di atas gerai di belakang rumah memerhati keadaan matahari yang semarak.
-Melalui tugas
Kebanyakkan watak-watak dalam karya mempunyai pekerjaan tertentu atau bertugas di mana-mana. Pekerjaan ini adalah salah satu ciri watak 'survive'. Hakikat ini perlu disedari bahawa nama seseorang akan akan dikenali disebabkan tugasnya. Justeru salah satu teknik untuk memperkenalkan wataka dalam karya adalah melalui tugas atau jawatannya. Sebagai contoh:
Mak Limah adalah seorang bidan kampung yang terkenal di Daerah Teluk Ara sebelum pusat kesihatan Daerah Teluk Ara di bina kira-kira dua puluh tahun dahulu. Ilmu perbidanannya menakjubkan.
Melalui watak-watak lain
Banyak cara yang boleh dilakukan bagi memperkenalkan seorang watak menerusi watak-watak lain. Antaranya ialah melalui mimpi, dialog, khayalan, angan-angan, ingatan, cerita dan peristiwa dan pertembungan atau pertemuan dengan watak-watak yang akan digunakan untuk memperkenalkannya.
Demikianlah beberapa teknik yang boleh dicipta bagi menampilkan watak dalam fiksyen. Masih banyak teknik penampilan watak yang boleh dilakukan bagi membentuk watak-watak dengan cara yang tersendiri mengikut kemampuan imaginasi masing-masing.
|
Post a Comment