SELAMAT DATANG Assalamualaikum . . . BISMILLAH "AWAK BOLEH TUKAR BACKGROUND KAT SINI! SILA PILIH ;)! PENULISAN KREATIF
|
PENGENALAN PENULIS
Dr.
Fatimah Busu ialah antara sasterawan kontemporari terbaik negara ini. Beliau
sudah beberapa kali memenangi Hadiah Sastera, dan sangat terkenal dengan
cerpennya yang berjudul “Nasinya Tumpah” yang dijadikan drama televisyen. Beliau pernah
memegang jawatan profesor madya di Universiti Sains Malaysia dalam bidang
penulisan kreatif. Beliau juga lebih dikenali sebagai pengarang cerpen dan
drama. Dua buah buku beliau iaitu berjudul Ciri-Ciri Satira dalam Novel Melayu
dan Afrika Moden : Kajian Perbandingan (1992) dan buku yang bakal kami perincikan dalam blog ini iaitu Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif : Teori dan
Proses (2003), menunjukkan keupayaan beliau sebagai pengarang yang serba boleh
selain menulis dalam karya kreatif sahaja.
Menyentuh mengenai asal usul Fatimah
Busu, beliau dilahirkan di Kampung Pekan Pasir, Kota Bharu, Kelantan, pada bulan Januari 1943. Setelah selesai pendidikan rendah dan menengah, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun Melaka (MPPDD) dan kemudian bertugas sebagai guru selama beberapa tahun. Pada awal dekad 1970-an, beliau meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga memperolehi ijazah sarjana muda (dengan kepujian), sarjana sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994).
Bukan itu sahaja, Dr. Fatimah Busu juga pernah ditawarkan anugerah paling berprestij iaitu SEA Write Award untuk penulis serantau Asia Tenggara. Namun, ketegasan dan prinsip hidup beliau telah menolak tawaran itu sebagai keprihatinannya terhadap masyarakat Islam di Thailand yang ditindas oleh kerajaan Thailand. Selain itu, Dr. Fatimah Busu juga merupakan antara sebilangan kecil pengarang yang muncul bersama-sama citra akademiknya, Dalam jagat kesusasteraan tanah air, beliau menghasilkan karya dalam empat penulisan iaitu sajak, cerpen, novel drama dan penulisan akademik.
Tidak dinafikan juga, karya-karya beliau berulangkali memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia, antaranya; "Mawar yang Gugur" (1971), "Nasinya Tumpah" (1972), "Freshie" ,"Lambaian Tanah Hijau" , "Bunga-bunga Pulau", "Sampah yang Hanyut" (1974), "Anak Bumi Tercinta" dan "Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan" (1975), "Mahar Asmara" (1983/1984) dan "Al-Amin" (1984/1985).
Masih segar diingatan apabila (Fatimah Busu, 2004:7), beliau menyifatkan bahawa dalam diri setiap individu ada sebuah takungan raksasa yang maha besar, namun takungan tersebut tidak tahu letaknya di mana. Dalam takungan raksasa itu terdapatnya khazanah, kemanisan, kenikmatan dan kegembiraan. Sementara itu, dalam takungan raksasa itu juga terdapat khazanah yang hitam kelam tentang kelukaan, keseksaan dan kesengsaraan yang sentiasa berdarah dan tidak tumpah ke tanah tetapi terus membusuk menjadi nanah.
Kehebatan dan curahan idea Dr. Fatimah Busu dalm bidang cerpen dan novel tulisan tidak mampu disangkal lagi. Siapa sangka wanita yang kelihatan biasa pada sisi lauran merupakan antara nama besar Negara dalam bidang penulisan karya kreatif. Ketelitiaan beliau dan naratifnya yang menyentuh dalam setiap cerpennya menjadi antara salah satu faktor setiap karyanya diangkat tinggi dan mendapat tempat di hati peminat seni tanah air. Sebagai penulis dua genre prosa iaitu cerpen dan novel, Dr. Fatimah Busu sering disorot sebagai penulis cerpen. Maka tidak hairanlah, cerpen-cerpen beliau terbangun dalam minda pembaca dan sentiasa malar hijau kedudukannya.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Dr. Fatimah Busu merupakan seorang penulis yang mempunyai identiti penulisannya tersendiri dengan gaya penulisan komtemporari, meskipun beliau mula menulis sejak tahun 1957 lagi. Sesungguhnya, beliau juga dapat dikatakan sebagai seorang pemikir sosial yang serius yang pendakwah yang halus kerana kebanyakan cerpennya berfokuskan perwatakan wanita sebagai protagonis dan subjek utama karya naratifnya.
|
Post a Comment